Ketahuilah bahawa menyangka buruk terhadap orang lain adalah haram dan samalah seperti haramnya melemparkan kata-kata keji terhadapnya. Sebagaimana haram anda mengucapkan perihal keburukan-keburukan orang dengan lidahmu, maka begitu jugalah dilarang anda mengucapkan keburukan-keburukannya di dalam hati, ataupun menyangka buruk terhadapnya. Apa yang dimaksudkan dengan sangkaan buruk itu, ialah sesuatu yang disimpulkan oleh hati, kemudian dilemparkan ke atas orang lain menerusi sangkaan yang buruk.
Adapun segala yang terlintas di dalam hati, ataupun yang dibicarakan di dalam diri, maka yang demikian itu adalah dimaafkan. Tetapi yang dilarang dengan keras ialah menyangka yang bukan-bukan. Dan sangkaan itu diumpamakan dengan sesuatu yang dirasa tenang oleh jiwa dan dicenderungi oleh hati.
Allah swt telah berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah sebahagian besar dari sangkaan-sangkaan, kerana setengah dari sangkaan itu ada mengandungi dosa.”
(al-Hujurat : 12)
Sebabnya sangkaan itu diharamkan, bahwa segala rahasia-rahasia hati itu tiada siapa yang mengetahuinya, melainkan Allah Yang Maha Mengetahui segala perkara-perkara yang ghaib. Oleh kerana itu, tidak wajarlah bagimu untuk mempercayai adanya sesuatu keburukan di dalam hati seseorang, melainkan setelah ternyata kepadamu keburukannya, yang mana anda menyaksikannya sendiri dengan mata kepala tanpa perantaraan orang lain. Apabila perkara itu belum tersingkap lagi, sepertimana yang anda mempercayainya, maka yakinlah bahwa yang menarik anda kepada sangkaan itu adalah syaitan dan hasutannya. Jadi hendaklah anda membohongi syaitan, kerana syaitan itu adalah sefasik-fasik kaum yang fasik.
Allah Ta’ala telah berfirman lagi:

Dalam sebuah hadith pula disebutkabn sabdanya:
“sesungguhnya Allah telah mengharamkan darah seorang Muslim serta harta bendanya dan menyangka terhadap dirinya dengan sangkaan buruk.”
Kalau begitu, apabila terlintas saja di dalam hatimu bisikan atau hasutan syaitan, supaya menyangka buruk terhadap seseorang maka hendaklah anda menolaknya. Kemudian, cubalah yakinkan kepada dirimu pula, bahawasanya hal dan keadaan orang itu masih belum tersingkap lagi dan tiada dapat diketahui perkara yang sebenarnya. Anggaplah segala apa yang anda saksikan daripadanya itu boleh mengandungi kebaikan dan keburukan.
Bagaimana dapat dikatakan, bahawasanya tanda sangkaan yang disimpulkan di dalam hati itu telah menjadi bulat, sedangkan syak dan keraguan masih bergelora dan jiwa sering pula mengatakan tanpa usul periksa?
Untuk menjawabnya, kita katakan bahawasanya tanda-tanda bulatnya sangkaan di dalam hati ialah apabila sifat hati itu telah berubah dari kebiasaannya terhadap orang yang dilemparkan sangkaan itu, Ia tidak pandang bagi orang itu sama seperti sebelum ia menyangka buruk terhadapnya. Ia akan menjauhkan diri daripada orang itu, merasa berat untuk berkawan dengannya, tiada mengambil berat terhadap hal ehwalnya, tiada pernah mencari atau menghormatinya atau merasa sedih oleh sesuatu yang menimpanya.
Jalan keluar untuk menghindarkan diri dari perilaku ini, hendaklah ia tidak mengikut sangat kehendak hati, yakni tidak merealisasikan sikap serupa itu, sama ada dengan ucapan mahupun perbuatan, baik menerusi hati ataupun anggota. Mungkin sekali ketika itu syaitan akan menghasut, bahwa sikap itu timbulnya dari kecerdasan otaknya dan ingatan serta kecerdikannya yang spontan. Bukankah telah dikatakan, bahawasanya orang Mukmin itu dapat melihat sesuatu denga cahaya dari Allah Ta’ala? Maka ketahuilah, yang sebenarnya itu adalah bisikan dan waswas syaitan semata-mata yang telah menjadikan anda melihat dengan tipu dayanya dan kegelapan petunjuknya.
Walau bagaimanapun, apabila telah ternyata kepadamu kekhilafan atau ketelanjuran seorang Mukmin dengan bukti dan hujah, maka sebaik-baiknya ialah anda menasihatkannya secara rahasia. Dalam pada itu, jagalah dirimu, agar tidak tertipu oleh syaitan sehingga ia akan mennarik kepada mengumpat orang Mukmin itu.
Di antara buahnya(natijahnya) sangkaan buruk itu ialah mengintip hal-ehwal orang. Sebab biasanya hati itu tidak memadai dengan menyangka buruk saja, malah ia akan berusaha untuk mendapatkan kenyataan atau hakikatnya, maka dilakukan olehnya pengintipan dan ini juga dilarang keras oleh Islam.
Allah telah berfirman:
“Dan janganlah kamu mengintip-intip.”
(al-Hujurat : 12)
Nyatalah sudah, bahawasanya mengumpat, menyangka buruk dan mengintip itu disebutkan larangannya di dalam sebuat ayat.
Erti dan maksud mengintip ialah bila seseorang itu tiada membiarkan hamba-hamba Allah terlindung di bawah naunganNya, maka ia merasa kurang senang selagi tiada mengetahui isi perutnya, dan cuba membuka tutup naungan Allah daripada orang itu, sehingga terbongkar segala rahasianya. Padahal jika dibiarkan tertutup, lebih baik dan lebih selamat bagi hatinya dan agamanya.
Sebelumnya telah kita terangkan hukum, mengintip dan hakikatnya di dalam kitab amar ma’ruf nahi munkar, sila rujuk kepadanya lagi.
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam